Wednesday, September 19, 2018

PENGURUSAN MAKLUMAT

Oleh Tan Ai Ling

                Pada era globalisasi ini,masyarakat perlu menguasai kemahiran pengurusan maklumat dan literasi maklumat supaya kemahiran ini dapat diaplikasikan dalam pembelajaran mereka.Kemahiran ini membantu masyarakat dalam mengenal pasti ketepatan dan kecekapan sesuatu maklumat supaya mereka tidak menggunakan maklumat yang salah. Menurut beberapa kamus umum,maklumat ialah data,bahan dan pengetahuan.Selain itu,maklumat juga adalah data yang tersusun dalam satu struktur yang mempunyai makna.Ciri-ciri maklumat termaksuklah relevan,boleh dipercayai,boleh difahami,lengkap,tepat pada masanya dan membantu mengurangkan ketidakpastian.Pengurusan maklumat pula boleh didefinisikan sebagai proses mengenal pasti,klasifikasi,pemeliharaan dan pemansuhan sesuatu maklumat.Pengurusan maklumat dalam konteks pembangunan diri merentas pelbagai dimensi iaitu dimensi diri,dimensi keluarga dan dimensi masyarakat.

                Masyarakat yang mempunyai kemahiran pengurusan maklumat akan menyaring maklumat yang benar dan menguruskan maklumat dengan efisien.Penyaringan maklumat boleh dijalankan selepas masyarakat mendapat pendedahan dan pemikiran tentang maklumat yang dicari.Kemahiran pengurusan maklumat membawa banyak faedah kepada masyarakat.Salah satu faedah kemahiran pengurusan maklumat ialah kemahiran ini membantu seseorang individu membuat perancangan strategi untuk menambah pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan kerjaya mereka.Selain itu,kemahiran ini juga amat penting dalam menguasai pelbagai kemahiran terkini supaya masyarakat tidak ditinggalkan zaman dan dapat meningkatkan kemahiran sendiri.Seterusnya,kemahiran pengurusan maklumat boleh digunakan oleh pelajar semasa menjalankan pembelajaran supaya proses pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar.Bukan itu sahaja,kemahiran ini juga membantu dalam memperbaiki kedudukan pasaran,meningkatkan sinergi dan memperbaiki komunikasi antara pekerja serta memperbaiki keberkesanan dan kecekapan sesuatu tugasan.

                Pengurusan maklumat berkait langsung dengan pengurusan pengetahuan.Pengurusan pengetahuan merupakan satu proses memanfaat,membangun dan menggunakan pengetahuan. Dengan menguasai kemahiran pengurusan pengetahuan,pengetahuan dapat diurus dengan kemas dan digunakan dengan berfaedah.Contohnya,pengetahuan dapat dikongsi dalam sesuatu organisasi sehingga menjana idea kreatif.Pengetahuan juga dapat ditambah nilai apabila berkongsi dengan orang lain kerana semua orang berkongsi maklumat yang dicari melalui pelbagai sumber. Pengurusan pengetahuan membantu masyarakat mencari,memilih dan menyebarkan pengetahuan bagi menyelesaikan sesuatu masalah.Penciptaan,penyebaran dan penyuntingan pengetahuan juga dapat dikawal dengan kemahiran pengurusan pengetahuan.Pengurusan pengetahuan mempunyai empat proses utama iaitu penyimpanan dan pemerolehan semula,pemindahan,penciptaan dan aplikasi.

Semasa menjalankan pengurusan pengetahuan,pelbagai teknik boleh dijalankan untuk menyahihkan dan mengesahkan sesuatu maklumat supaya sebarang fakta salah dan palsu dapat ditangkis.Masyarakat harus membentuk sikap positif untuk mengurus maklumat.Mereka boleh melakukan tutorial atau bekerja dalam kumpulan untuk menyuntingkan sesuatu maklumat.Bekerja dalam kumpulan memastikan proses penyuntingan maklumat dijalankan dengan cepat dan efektif. Bagi mereka yang belum mahir dalam pengurusan pengetahuan,mereka boleh mencari mentor atau pembimbing untuk membantu mereka membezakan maklumat betul dan salah.Masyarakat juga boleh berkongsi pengetahuan yang dicari dengan orang lain supaya mereka boleh membuat perbincangan untuk memilih pengetahuan yang betul.Pengetahuan juga boleh diterap dalam menyelesaikan masalah untuk mengenal keberkesanannya.

Pengurusan maklumat dapat dilaksanakan secara efektif dengan memguasai literasi maklumat. Literasi  bermaksud celik atau berpengetahuan.Menurut Byerly et.al.(1999),literasi maklumat dari segi istilah bermaksud keupayaan mencari dan menggunakan maklumat yang menjadi kunci pembelajaran sepanjang hayat.Byerly et.al. juga menyatakan bahawa pelajar yang celik maklumat seharusnya bukan sekadar mampu mengakses sumber maklumat dengan cekap semasa proses pengumpulan maklumat, bahkan mampu menilai maklumat secara kritis dan menggunakan maklumat tersebut dengan tepat dan kreatif.Orang yang mempunyai literasi maklumat mampu dalam menggali,mentafsir dan mencipta idea-idea baru.Literasi maklumat merupakan satu ‘set kemahiran’ yang boleh dipelajari dan mempunyai banyak konsep.Konsep literasi maklumat melibatkan beberapa kemahiran seperti perkembangan kemahiran maklumat, kelancaran maklumat,pengajaran bibliografi,orientasi perpustakaan,pendidikan pengguna, kecekapan maklumat,latihan pengguna dan konsep-konsep lain.

Terdapat tiga komponen asas sebagai piawaian literasi maklumat bagi mewujudkan pembelajaran berkesan iaitu,akses,penilaian dan penggunaan.Masyarakat juga boleh menggunakan alatan,teknik dan kaedah untuk menyahih maklumat yang diterima supaya pengurusan maklumat dapat dijalankan dengan lancar.Mereka perlu membentuk sikap positif semasa belajar pengurusan maklumat dan sentiasa berkongsi maklumat dengan orang lain.

Kesimpulannya,pengurusan maklumat dan literasi maklumat harus dimiliki oleh semua masyarakat.Hal ini kerana pengurusan maklumat yang cekap dan tepat akan membolehkan masyarakat mempunyai akal budi dan menjauhkan diri daripada gejala buruk.Masyarakat yang mempunyai literasi maklumat juga dapat menjalankan pengurusan maklumat dan pengetahuan dengan efektif.

No comments:

Post a Comment